USAHA seiring bidang lakonan, bakal perkenalkan jenama fesyen sendiri.
Tidak kerana mengikut trend semata-mata, Zara Zya, 30, menjadikan bidang perniagaan sebagai mata pencarian utamanya selain berlakon.
Zara baru-baru ini memaklumkan ingin mengembangkan bisnes yang diusahakan dan bakal memperkenalkan jenama fesyen tidak lama lagi.
“Kalau boleh, biarlah bisnes yang diusahakan seiring dengan lakonan. Bukan apa, selain dapat menambah pendapatan, ia persediaan awal untuk masa depan yang lebih menjamin,” kata Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin.Pelakon drama bersiri popular Tuan Anas Mikael itu turut memaklumkan sedang mencari tukang jahit untuk menjahit koleksi jenama fesyennya.
“Ia masih dalam perbincangan. Belum masanya untuk saya beritahu apa koleksi itu, tetapi ia memang berkaitan fesyen.
“Saya mencari tukang jahit yang sesuai dan kreatif untuk bekerjasama,” katanya lagi.
Sebelum ini, Zara pernah berniaga makanan dan produk kecantikan.
“Bisnes makanan saya buat dengan ibu manakala produk kecantikan ZaraZya Beauty pula saya hanya keluarkan bedak asas. Insya-Allah, pada masa akan datang saya akan keluarkan lebih banyak produk,” katanya.
Menerusi drama Tuan Anas Mikael yang meraih rating empat juta penonton, lakonannya mendapat pujian melambung peminat.
Pun begitu, ada juga yang mengkritik, namun ia sama sekali tidak berbekas di hati pelakon berjiwa periang ini.
“Biasalah, kita tak boleh puaskan hati semua pihak. Ada komen tak suka karakter saya bercakap dengan kamera.
“Bagi saya tak ada apa yang pelik kerana adegan sebegini sudah lama diguna pakai dalam filem dan drama Melayu.
“Kalau dikaji pada zaman filem Allahyarham Tan Sri P Ramlee sudah ada,” katanya.
Mengulas mengenai kejayaan drama itu, Zara menyifatkan ia rezeki semua yang terbabit menjayakan karya terbabit.
“Ini rezeki kami yang bekerja keras menghasilkan drama ini. Saya tidak meletakkan harapan tinggi kerana bagi saya kalau penonton suka dan drama ini jadi bualan ramai, itu sudah memadai,” katanya.
Sepanjang mencanai bakat sebagai pelakon, Zara mengelak bersikap memilih watak.
Ini kerana dia percaya pelakon sewajarnya bersedia membawa apa saja karakter kerana itu tanggungjawab mereka.
“Saya tak memilih watak. Kalau ditawarkan dan ada kelapangan saya akan buat.
“Lagipun lakonan adalah sumber pendapatan saya dan menjadi tanggungjawab saya memberikan persembahan terbaik,” katanya.
Terbaru, Zara terikat dengan penggambaran drama Cinta Hati Abah untuk slot Samarinda TV3.
Selain Zara, drama ini turut dijayakan Esma Daniel, Noni, Afiq Muiz dan Idris Khan.
Sumber: Harian Metro
Zara zya dah 30 tahun ke ? Ingatkan 27
BalasPadamUntung artis boleh lebarkan sayap dengan mudah... orang biasa, jenuh panjat tangga..
BalasPadamSalam singgah sini dik lya....suka dengan lakonan Zara Zya ni....
BalasPadam