Halaman

Misi terbantut gempa melanda

Asha Lya | Disember 09, 2015 | 3Komen | >
Assalamualaikum





KEADAAN Gunung Kinabalu selepas dibuka semula kepada orang ramai pada 1 Disember lalu. 



Ranau: Seramai 122 pendaki yang cuba menawan puncak Gunung Kinabalu sejak mula dibuka pada 1 Disember lalu menempuh detik cemas apabila kawasan itu dilanda gempa bumi lemah berukuran 2.9 magnitud, semalam.
Dalam kejadian jam 9.10 pagi itu, gegaran berpusat di kedudukan 11 kilometer barat Ranau menyebabkan beberapa pendaki yang berada di Laban Rata bergegas meninggalkan penginapan masing-masing dan berkumpul di kawasan terbuka berikutan bimbang berlaku runtuhan batu.
Pengurus Taman Kinabalu Yassin Miki berkata, gegaran itu dapat dirasai di sekitar pekan ini dan Gunung Kinabalu.
“Bagaimanapun, tiada kejadian tidak diingini berlaku di kawasan pergunungan, semua pendaki dan malim gunung berada dalam keadaan selamat.
“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan susulan gegaran yang dirasai hari ini (semalam),” katanya ketika dihubungi.
Yassin berkata, berdasarkan rekod pihaknya, seramai 67 pendaki memulakan pendakian sejak kelmarin dan dijangka turun ke Timpohon hari ini (semalam) manakala 55 lain memulakan pendakian ke Panalaban pada hari sama.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau Jimmy Lagon berkata, keadaan di puncak Gunung Kinabalu masih terkawal walaupun berlaku gegaran kecil.
“Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) yang bertugas di sekitar puncak gunung melaporkan keadaan adalah baik dan tiada sebarang runtuhan berlaku.
“Malah, semua pendaki yang melakukan pendakian hari ini (semalam) dilaporkan selamat tiba di Laban Rata,” katanya.
Jimmy berkata, seramai enam anggota MOSAR bertugas selama 24 jam bagi memantau keselamatan pendaki selain memberi bantuan kecemasan sekiranya diperlukan.
“Anggota MOSAR akan menjalankan tugas secara bergilir bagi memastikan keselamatan pendaki dipantau setiap masa.
“Ini membolehkan tindak balas segera dilaksanakan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini termasuk gempa bumi,” katanya.
Harian Metro difahamkan, aktiviti pendakian masih dijalankan seperti biasa dan gegaran itu tidak mematahkan semangat pendaki untuk menawan puncak Gunung Kinabalu.
Artikel ini disiarkan pada : 
Selasa, 8 Disember 2015 @ 9:09 AM
Sumber: Harian Metro

Terima Kasih

3 ulasan:

...Terima Kasih Komen Ikhlas Anda...
...Komen Anda Semua Sangat Dihargai...
....Kalau sudi jemput la datang selalu...

Asha Lya Copyright © 2016. Design by MaiGraphicDesign